bila masa meragut usia…26 Ogos 2009

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan namaNya Yang Maha Sempurna,

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah

Dan Nabi Muhammad itu pesuruh juga kekasih Allah.

Tanpa ku sedari pantas waktu berlalu,

Diizinkan olehNya sekali lagi

Untukku bertemu dengan hari ini.

Selangkah lagi saat kematian yang pasti itu semakin mendekati..

Baki usia semakin berkurang

Menandakan waktu kehidupan di tanah ini semakin memendek

Masa semakin hari semakin meragut usiaku..

Memberi petanda bahawa peluang untukku mengumpul bekal semakin terhad.

Mencecah 24 sudah

Cukupkah amal soleh yang bisa menjadi teman untuk ke daerah sana?

Ya Rabb, terimalah setiap amalku sekecil mana pun ia

Kerana itu sahaja yang bisa menjadi bekalanku di akhirat sana.

Selamat Hari Lahir..

Semoga semakin matang dan dewasa meniti hari-hari mendatang yang tidak pasti

Usia yang semakin senja bukan meminta untuk dibelai manja dengan wang, harta dan perhiasan

Bahkan ia merayu dan meronta untuk dihiasi dengan amal dan ketaqwaan kepadaNya.

Semoga kau bisa adil pada amanah usia ini.

Hiasilah dan penuhilah ia dengan segala kebaikan

Dan wakafkanlah usia yang tersisa ini hanya utk addeen ini.

Tiada siapa pun yang lebih berhak menerima syukurku atas usia ini melainkan Dia yang menciptakanku.

Terima kasih Ya Allah atas kurniaan usia ini.

Hari ini merupakan petanda bahawa diriku semakin menghampiri saat pertemuan denganMu

Semoga di waktu aku dipanggil pulang, aku dijemputMu dengan hati yang sejahtera.

Moga-moga saat itu menjadi saat yang paling aku tunggu-tunggu dan rindu,

Saat di mana aku bersama mereka yang diseru ”Ya ayyatuhan nafsul mutmainnah”

Doaku agar Engkau turut gembira dengan kepulangan hambaMu ini.

Ya Allah,

Teguhkan aku untuk terus istiqamah di jalanMu

Kuatkan dan tsabatkan aku agar lebih kuat beramal, mendidik diri juga manusia yang lainnya.

Ya Allah,

Matikanlah aku sebagai syahidah di jalanMu.

Hadiahkanlah syurga Firdausi buatku kelak.

Dan tiadalah aku di dunia ini seandainya Allah tidak mengizinkan kelahiranku dari dua insan istimewa ini..

Ucapan terima kasih penuh kasih sayang buat ummi juga abah.

Yang tak termampu membalas segala jasa dan pengorbanan dua insan mulia ini.

Terima kasih, jazakumullahu khairan katheera

Atas segala pengorbanan dalam membesarkanku, mengasuh dan mendidik.

Terima kasih atas kasih sayang yang tak ternilaikan oleh dunia dan seisinya.

Maafkanlah anakmu ini kerana tidak mampu menjadi anak yang benar-benar solehah

Terkadang kekurangan dan segala khilaf diriku menghalang diriku menjadi qurratu ’ain buat kalian.

Ya Allah, berkatilah kehidupan ummi dan abahku di dunia dan akhirat.

Letakkanlah mereka berdua di tempat tertinggi di sisiMu.

Kuatkan kami utk terus bersama-sama dalam perjuangan ini.

Terima kasih Ya Allah kerana mentaqdirkanku lahir dari perut ummiku dan menjadi pewaris perjuangan abahku.

Semoga segala amalku, sahamnya turut mengalir buat mereka berdua.

Setinggi kesyukuran aku berikan kpd Dia Yang Maha Penyayang

Atas kurniaan saudara dan sahabat yang soleh dan solehah

Yang sering menghadiahkan do’a buatku.

Rabb, rahmatilah mereka dan teguhkan mereka di atas jalan ini

Sehingga kami dapat bertemu kembali di syurgaMu kelak.

Jazakumullahu khairan katheera atas segalanya, kasih sayang, pengorbanan, sokongan, nasihat, ilmu, hadiah juga do’a kalian.

Semoga Allah meredhai ukhuwah yang terjalin antara kita semua.

Maafkanlah atas segala kekurangan juga kekhilafanku sepanjang hati-hati kita dipertaut olehNya..

Selamat Hari Lahir..

Selamat meneruskan perjalanan dalam kehidupan ini

Dengan setulus jiwa hanya keranaNya.

Hargailah setiap detik yang ada dengan sebaiknya.

Ramadhan 1430H menjadi hadiah terindah buatku..

Semoga suatu hari nanti

Aku bisa meletakkan cinta dan rinduku teragung sepenuhnya hanya pada Allah.

Ya Allah, bantulah aku.

Ku akhiri tulisanku ini dengan wasiat AsSyahid Syed Qutb

Yang mana aku sangat mengimpikan dan mengidamkan

Perasaan yang sama sepertinya

Ya Allah, tabahkanlah aku dalam menelusuri hidup yang tersisa ini

Moga suatu hari nanti dapat aku bertemu dengan kekasih-kekasihMu

Di Jannatul Firdausi..

Amin Ya Rabb…

Hanya hamba Allah,

Sumayyah Abdul Aziz

26 Ogos 2009

5 Ramadhan 1430H

Bukit Piatu, Melaka

Wasiat Syed Qutb

Seandainya kau tangisi kematianku

Dan kau siram pusaraku dgn airmatamu

Maka di atas tulangku yang hancur luluh

Nyalakanlah obor buat umat ini

Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Kematianku adalah suatu perjalanan

Mendapatkan kekasih yang sedang merinduku

Taman-taman di syurga bangga menerimaku

Burung-burung berkicau riang menyambutku

Bahagialah hidupku di alam abadi

Puaka kegelapan pasti akan hancur

Dan alamku ini akan disinari fajar lagi

Biarlah rohku terbang mendapatkan rinduNya

Janganlah gentar berkelana di alam abadi

Nun di sana fajar sedang memancar



One Response to “bila masa meragut usia…26 Ogos 2009”


  1.   

    Ya Allah,

    “Teguhkan aku untuk terus istiqamah di jalanMu

    Kuatkan dan tsabatkan aku agar lebih kuat beramal, mendidik diri juga manusia yang lainnya.

    Ya Allah,

    Matikanlah aku sebagai syahidah di jalanMu.

    Hadiahkanlah syurga Firdausi buatku kelak.”

    Aamiin..
    Semoga Allah memperkenankan setiap bait doamu..

    Semoga ramadhan kali ini mampu menghiasi diri dengan pakaian taqwa..

    Rindu akak…wish u are here…Take care..
    Wassalam wbt

Leave a Reply